Sunday, December 11, 2016

Ekspedisi Gunung Stong

Bila memandu pulang ke kampung terutamanya di cuti musim perayaan, aku kadang-kadang akan memilih laluan Gua Musang-Jeli untuk mengelak terperangkap dalam kesesakan jalan yang panjang. Ketika pertama kali melalui laluan ini, mata aku sudah tertangkap pada pemandangan air terjun yang nan jauh mencurah tinggi di atas gunung sana.

Melalui carian di internet, barulah aku tahu mengenai Air Terjun Jelawang, Kem Baha dan Gunung Stong. Aku sendiri sebagai anak Kelantan, jahil tentang mereka. Maka selepas itu bersama 9 orang lagi teman sekerja, kami mengatur satu ekspedisi ke sana, yang telah pun dilakukan pada bulan Oktober yang lepas.

Ekspedisi Gunung Stong ini bukanlah percuma. Beserta dengan seorang Malim Gunung, harga pakej bagi satu kumpulan ialah RM950. Maka logiknya makin ramai ahli satu kumpulan, maka makin murahlah kos yang perlu ditanggung setiap orang. Kami tiba di Jelawang sehari awal. Homestay untuk bermalam disediakan yang aku kira sudah termasuk dalam harga pakej.

Ekspedisi kami ini juga sebenarnya termasuk dengan jelajah Kompleks Gua Ikan yang menghimpunkan Gua Keris, Gua Pagar dan Gua Ikan sendiri. Keunikan gua-gua batu kapur berusia jutaan tahun ini tentunya terletak pada rupa bentuk tiang-tiang stalaktit dan stalagmit, yang antaranya menjadi asas kepada nama gua-gua ini. Jika ke sana, nantikan satu teka-teki seksis daripada pemandu gua mengenai salah satu bentukan seperti jari tangan di dinding gua.

Selain itu, dapat juga diperhatikan di Kompleks Gua Ikan ini tinggalan-tinggalan cengkerang laut, dan yang paling menarik perhatian ialah  bentukan-bentukan busu hablur garam di lantai gua, yang apabila disentuh cahaya, kilaunya bak berlian. Menjelajah gua-gua seperti ini sentiasa buat aku terfikir mengenai pergerakan Bumi, bagaimana daerah yang sangat jauh seperti Dabong ini, berjuta tahun dahulu rupanya adalah kawasan lautan.

Selepas solat Zohor, barulah kami memulakan pendakian ke Kem Baha. Dengan beg galas yang berat berisi bekalan makanan serta peralatan khemah, ditambah pula dengan berhenti rehat yang banyak, kami mengambil masa hampir 2 jam juga untuk sampai di sana. Tapak khemah yang disediakan untuk kami betul-betul menghadap Kolam Puteri. Jika dari bawah tingkat Air Terjun Jelawang sudah nampak majestik sekali, tetapi di atas sana ada bertingkat-tingkat lagi!

Seterusnya tidak perlulah aku ceritakan aktiviti kami. Bermandi-manda air terjun sudah tentu kemestian, makan-makan pula berselera sekali walaupun hanya dengan lauk sardin, telur dadar dan sambal ikan bilis.

 
Malam pertama di Kem Baha, angin sejuk bertiup kencang. Malangnya lena aku sekejap saja, dan seterusnya aku berjaga hingga ke pagi. Nasib baik ada unggun api dan telefon sebagai teman, walaupun signalnya goyah sekali. 

Lebih malang lagi, ketika turun ke Kolam Puteri untuk mengambil wuduk Subuh, lampu suluh aku terlepas ke dalam air lalu padam tidak berfungsi. Hendak memanggil nama kawan, suara aku ditutup dengan bunyi deras air terjun, hendak menapak naik semula ke tapak khemah, mata rabun aku langsung tidak nampak langkah dan jalan. Maka duduklah aku di situ dalam gelap dan sejuk lebih kurang setengah jam, solat di atas bongkah batu besar yang ada di situ sementara menunggu hari sedikit cerah.

Pagi di Kem Baha ini, para pendaki biasanya akan duduk berkumpul di hujung air terjun, menunggu terbit Matahari, dengan pemandangan hijau di hadapan mata daerah Dabong yang jauh di bawah sana. Memang perasaannya terasa tenang sekali.


Seterusnya adalah misi menawan puncak Gunung Stong. Bagi aku, pendakiannya tidaklah secabar mana. Tidak ada tebing-tebing tinggi bahaya yang perlu didaki dengan tali. Bermula lebih kurang pukul 9.00 pagi, hampir 4 jam juga untuk kami mencapai puncak Gunung Stong, yang terletak 1422 meter dari paras laut. Suka aku sebutkan di sini, puncak tertinggi gunung Stong tidaklah seluas mana, perlu memanjat sedikit ke bongkah tanah yang besar, bolehlah kalau mahu memuatkan sekurang-kurangnya 20 orang dan menikmati pemandangan di sekelilingnya.

Puas berehat dan tersengih merakam kenangan dengan rasa bangga, dan juga setelah menikmati bekalan yang dibawa, barulah kami memulakan perjalanan turun. Kami tiba kembali di Kem Baha lebih kurang pukul 4.30 petang. Pada mulanya merancang untuk terus pulang ke Park HQ, tetapi dinasihatkan pula untuk kekal satu malam lagi.

Hari ke dua di Kem Baha, sempatlah kami duduk berbual dengan beberapa kumpulan pendaki yang lain. Rupa-rupanya menurut mereka, percaturan ekspedisi Gunung Stong kami sepatutnya disertakan Gunung Baha dan Gunung Ayam sekali, kerana itulah yang dilakukan oleh mereka. Jarak dan masa pendakian akan lebih sedikit sahaja kerana hanya melalui satu pusingan laluan dan tidak perlu berpatah balik. Aku mendengarnya dengan senyum-senyum saja, mungkin lain kali bila ada kudrat dan masa.
 

No comments: