Monday, February 14, 2011

Aku dan Kota Kinabalu (Bahagian 3)

Hari Kedua

Pukul 9.30 pagi, aku turun bersarapan di kedai makan yang sama seperti semalam. Menu sarapan pagi kali ini ialah Nescafe tarik dan sepinggan nasi ayam.

Selesai bersarapan, aku kemudian menuju kembali ke Pasar Filipina@Pasar Kraftangan untuk membeli ole-ole kenangan untuk ahli keluarga apabila pulang bercuti di kampung nanti.

Setelah meninjau banyak kedai, aku akhirnya membeli satu set kerongsang mutiara, dua set butang baju Melayu serta satu paket key-chain. Kalau diikutkan ada beberapa benda lagi yang aku hendak beli untuk diri-sendiri, namun apabila mengenangkan baki duit di dalam akaun bank yang rasanya cukup-cukup untuk survival hingga hujung bulan ini, hasrat itu terpaksa aku batalkan sahaja.

Kemudian aku menuju pula ke kawasan tepi laut yang berhampiran dengan Pasar Filipina. Terdapat beberapa buah bot perahu dan kapal nelayan sedang berlabuh di situ. Mata aku leka memerhatikan gelagat seorang lelaki dan anak perempuan kecilnya yang sedang memunggah beg-beg plastik padat berisi ikan dan sayuran ke dalam perut sebuah perahu sebelum pergi meninggalkan daratan. Aku tertanya-tanya, agak-agaknya di manalah rumah mereka?

Berdekatan dengan laut itu juga, terdapat sebuah pasar yang menjual pelbagai jenis kerepek, keropok dan kuih-muih tradisional termasuk kuih cincin yang sangat popular di Sabah. 

Aku singgah di situ sebentar sebelum pulang ke hotel, sekadar untuk melihat-lihat tanpa niat untuk membeli apa-apa pun, cukuplah dengan merasa sampel-sampel kerepek, keropok dan kuih yang disediakan oleh peniaga-peniaga di situ (hehehe...)

Stesen Bas Bandaraya Kota Kinabalu

Aku check out daripada hotel tepat jam 12.00 tengahari. Setelah menjelaskan bil sebanyak RM105 (termasuk caj RM25 kerana menghilangkan kad kunci pintu), destinasi aku seterusnya ialah Muzium Negeri Sabah.

Aku merancang ke sana dengan menaiki bas awam sahaja, kerana pak cik driver teksi kata kalau hendak ke Muzium Negeri Sabah, tambangnya RM15. Setelah bertanya dengan beberapa orang pelepak kaki lima, aku lalu berjalan kaki hampir 10 minit ke Stesen Bas Bandaraya Kota Kinabalu yang lokasinya di hadapan Plaza Wawasan.

Dengan statusnya sebagai sebuah bandaraya, aku pada mulanya membayangkan Stesen Bas Bandaraya Kota Kinabalu tentunya seperti sebuah terminal, namun realitinya alahai agak menyedihkan.

Di sebalik deretan bangunan-bangunan mega pusat beli-belah, plaza-plaza, wisma-wisma dan hotel-hotel bertaraf bintang-bintang, kerajaan negeri Sabah nampaknya masih tidak berupaya untuk membiayai sebuah terminal bas yang lebih selesa untuk rakyatnya yang tidak mampu untuk memiliki kenderaan sendiri, apatah lagi untuk membayar tambang teksi yang sangat mengarut itu.

Sebagaimana teruknya perkhidmatan bas awam di sesetengah bandar di Semenanjung dan Sarawak (termasuklah di bandaraya Miri), tahap keazaban bas-bas awam di bandaraya Kota Kinabalu juga boleh dikatakan agak setanding. Malah di sini, istilah bas awam juga merujuk kepada van-van uzur yang telah diubahsuai untuk mengangkut penumpang.

Dalam keadaan sendat dan berpeluh-peluh bersama penumpang yang lain, aku kemudian menaiki bas no.13 menuju ke Muzium Negeri Sabah, tambangnya cuma RM1. Ketika di dalam perjalanan, aku sekali lagi memaniskan muka meminta pertolongan daripada seorang penumpang yang berdiri di sebelah agar memaklumkan kepada aku tatkala bas melewati muzium.

Muzium Negeri Sabah

Perjalanan dari Stesen Bas Bandaraya Kota Kinabalu ke Muzium Negeri Sabah mengambil masa lebih kurang 15 minit. Setelah menekan loceng, pemandu bas menurunkan aku di sebuah bus stop yang terletak di bahagian belakang muzium.

Turut bersama dengan aku ketika itu ialah seorang pak cik tua, namanya pak cik Ajit yang datang dari Labuan. Dia juga bertujuan untuk melawat Muzium Negeri Sabah buat kali pertama. Kami kemudian bersama-sama menapak ke muzium yang terletak di atas bukit.

Memandangkan dia juga berseorangan, pak cik Ajit awalnya sungguh beria-ia benar mengajak aku menjelajah muzium bersama dengannya. Namun ketika aku sedang beratur di kaunter muzium untuk membayar harga tiket, pak cik Ajit pula hilang berkeliaran entah ke mana dan sedari itu, aku langsung tidak nampak kelibatnya lagi.

Setelah membayar harga tiket iaitu RM1, aku bersama-sama beberapa orang pengunjung lain lalu masuk ke ruang legar utama muzium. Untuk pengetahuan, pengunjung dibenarkan membawa masuk bersama kamera, telefon bimbit dan personal belonging yang lain, namun sebarang aktiviti merakam foto di dalam bangunan muzium adalah tidak dibenarkan.

Di ruang legar utama muzium ini, terletaknya rangka tulang ikan paus Bryde sepanjang 18.6 meter. Bangkai ikan paus ini ditemui terdampar di pantai Pulau Gaya pada 17 Disember 2006. Terdapat sebuah buku skrap bergambar yang disediakan oleh pihak muzium untuk rujukan pengunjung. Buku ini menceritakan secara ringkas kronologi penemuan bangkai ikan paus ini hinggalah kepada kerja-kerja pembersihan dan pengumpulan tulang-tulang oleh Jabatan Muzium Sabah sebelum rangkanya disusun dan dibangunkan semula untuk dipamerkan.

Di aras yang sama, terdapat Galeri Pesta Kaamatan yang merupakan amalan tradisi masyarakat Kadazan-Dusun. Galeri ini mempamerkan pelbagai informasi yang menarik dari sejarah asal-usul Pesta Kaamatan hinggalah kepada peralatan ritual, instrumen muzik, tarian, kraftangan, pakaian dan hidangan tradisional masyarakat Kadazan-Dusun dalam meraikan Pesta Kaamatan. Dan jangan pula terkejut jika terlihat foto Daphne Iking juga dipamerkan di galeri ini sebagai salah seorang pemenang Ratu Kaamatan (Unduk Ngadau).

Selain itu, bersebelahan dengan Galeri Pesta Kaamatan ialah Galeri Cosmos yang mempamerkan busana pengantin daripada pelbagai kumpulan etnik di Sabah seperti suku kaum Kadazan, Bajau dan Dusun Tindal dari Kota Belud, suku kaum Kadazan dari Papar dan Panampang, suku kaum Lotud dan Rungus dari Kudat, suku kaum Murut dari Pensiangan serta suku kaum Bisaya, Iranun dan Ida'an.

Manakala di aras 2, terdapat Galeri Seramik yang mempamerkan pelbagai artifak seramik yang berupa pinggan-mangkuk, tajau (tempayan), cawan dan teko dari dinasti-dinasti berbeza yang pernah memerintah negara China. Koleksi seramik yang usianya berabad ini adalah antara barang dagangan yang di bawa masuk ke Sabah dari tanah besar Asia. Di aras 2 ini juga menempatkan sudut pameran mengenai amalan pengebumian tajau di mana pada zaman lampau, mayat disimpan di dalam tempayan besar sebelum ditanam atau ditinggalkan di pelantar rumah kuburan yang dibina.

Selain galeri-galeri pameran yang telah aku sebutkan di atas, bangunan utama Muzium Negeri Sabah ini juga menempatkan Galeri Terowong Masa dan Galeri Ilmu Kejadian. Namun sayangnya, kedua-dua galeri tersebut ditutup kepada pengunjung buat sementara waktu untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

Selepas puas menjelajah, aku kemudian berjalan keluar menuju ke Kampung Warisan yang merupakan salah satu komponen Muzium Negeri Sabah yang tapaknya terletak bersebelahan dengan bangunan utama muzium. 

No comments: